Penunggang motosikal cuba redah arus banjir nyaris lemas

ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas dihanyutkan arus deras banjir di Jalan Batu Alang, Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.32 pagi sebelum sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, maklumat diterima memaklumkan seorang penunggang motosikal dihanyutkan arus banjir ketika melalui lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kawasan sekitar termasuk jalan raya dinaiki air sedalam kira-kira 1.2 meter dengan keadaan arus yang deras.

“Mangsa lelaki berusia 34 tahun ketika itu berusaha menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang kayu sebelum pasukan bomba memulakan operasi menyelamat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mangsa kemudian berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke jalan raya selepas operasi menyelamat dijalankan lebih 40 minit.

“Mangsa berjaya di bawa naik ke atas jalan raya pada jam 8.40 pagi sebelum dia diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan lanjut.

“Kami menasihatkan orang awam khususnya pengguna jalan raya untuk tidak mengambil risiko dengan meredah atau melintasi air deras bagi mengelak kejadian serupa,” katanya.

Sementara itu kejadian menimpa lelaki itu tular di media sosial menunjukkan mangsa cuba meredah arus deras banjir dengan mengekori rapat belakang sebuah lori.

Mangsa bagaimanapun tiba-tiba terjatuh sebelum dihanyutkan arus. – MalaysiaGazette

Source :