Zaim, Ismanira kemuka representasi semak semula pertuduhan abai Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR – Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam usaha untuk menyemak semula pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili pasangan itu berkata, representasi tersebut dihantar pada 19 November lalu agar pihak pendakwaan menarik balik atau menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-duanya.

“Kami sudah menghantar representasi pada tarikh berkenaan. Maaf, surat representasi itu bagaimanapun tidak boleh kami dedahkan,” ujar beliau ketika dihubungi pihak media hari ini.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini menetapkan 6 Disember ini bagi status representasi tersebut yang akan dimaklumkan pada prosiding di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Sebarang keputusan yang akan diumumkan oleh jabatan itu akan menentukan perkembangan kes berkenaan. Pasangan tersebut dijadual dibicarakan Januari tahun depan.

Pada prosiding 18 September lalu, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar selama 15 hari dalam tempoh tiga minggu berturut-turut iaitu pada 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2025.

Ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh turut memaklumkan pihak pendakwaan bersedia untuk perbicaraan dan akan mengemukakan 15 saksi untuk memberi keterangan.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

Source :