RANTAU PANJANG: “Baju, kasut dan peralatan sekolah semua musnah akibat banjir dan mohon ihsan rakan untuk pinjam alat ulis menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok,”.
Demikian luahan calon SPM, Nur Intan Lydiana Mahrulsulam, 17, iatu antara calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang yang dipindahkan ke sekolah di Pasir Mas hari ini.
Anak kedua daripada empat adik beradik itu berkata, sudah beberapa hari dia terpaksa mengulangkaji dengan lilin apabila elektrik di rumahnya diputuskan kerana banjir.
“Emosi saya memang terjejas dengan keadaan rumah dilanda banjir, saya berada di tingkat atas dan elektrik sudah dimatikan sejak beberapa hari lalu.
“Pakaian sekolah sudah musnah dan semalam pula dimaklumkan terpaksa dipindahkan ke sekolah lain.
“Tak tau nak rasa macam mana kerana saya tidak pernah jangka keadaan jadi seperti ini. Justeru, saya serahkan kepada takdir esok untuk masa depan saya,” katanya ketika ditemui di PPS Gual Tinggi.
Katanya, walaupun emosi terganggu namun dia akan mencuba sebaik mungkin untuk menjawab kertas peperiksaan esok.
Sementara itu, rakannya, Wirod Wet Chuen, turut memaklumkan terpaksa belajar menggunakan lilin sejak beberapa hari lalu apabila rumahnya dilanda banjir sehingga menenggelamkan tingkat bawah.
“Sejak beberapa hari lalu saya hanya mengulangkaji di atas katil dengan tiada elektrik. Sedikit sebanyak emosi saya terjejas untuk berdepan SPM esok,” katanya.