Imigresen sedia tambah anggota bertugas di ICQS Rantau Panjang

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen bersedia menambah bilangan kakitangannya termasuk menggerakkan mereka dari pejabat lain untuk bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Kelantan bermula hari ini dalam usaha memudahkan perjalanan pelajar yang tinggal di Golok, Thailand untuk bersekolah di Rantau Panjang.

Pada masa ini, terdapat 67 anggota Imigresen bertugas di ICQS Rantau Panjang dengan tujuh kaunter masuk dan enam kaunter keluar membabitkan masing-masing dua kaunter pejalan kaki, kereta dan motor serta masing-masing satu kaunter bagi lori dan golongan VIP.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata pihaknya juga akan memberi kelonggaran dengan membuka lorong khas di ICQS itu untuk kegunaan pelajar terbabit bagi mengelak berlaku kesesakan yang mungkin menyebabkan mereka terlewat ke sekolah, susulan penguatkuasaan larangan penggunaan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban. – Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Beliau berkata, langkah itu diambil berikutan cadangan membuka operasi ICQS awal sejam berbanding jam 7 pagi yang dilaksanakan sekarang masih belum boleh dilakukan kerana perkara itu perlu dibincang dan mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa di Thailand terlebih dulu.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat semalam, memaklumkan pihaknya menerusi Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara akan menetapkan tarikh bagi perbincangan dengan pihak berkuasa Thailand termasuk bagi isu rentas sempadan membabitkan pelajar sekolah ini.

“Pada mesyuarat MKN Rabu lalu, saya difahamkan antara opsyen yang ada ialah cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan asrama kepada pelajar Malaysia yang tinggal di Golok, Thailand dan jika perkara itu dapat dibuat, tidak timbul lagi masalah pergerakan harian pelajar di sempadan negara.

“Bagaimanapun, jika perkara itu tidak dilaksanakan, Jabatan Imigresen bersedia memudahkan urusan harian pelajar ini walaupun tempoh operasi ICQS Rantau Panjang masih kekal bermula jam 7 pagi.

“Antara lain, kita boleh wujudkan laluan khas untuk pelajar dengan menambah kakitangan bertugas di kaunter termasuk jika perlu, menggerakkan kakitangan dari pejabat lain datang ke sini.

“Selain itu, kita juga melihat kemungkinan melaksanakan kaedah mengumpul senarai nama pelajar yang berulang alik ke Rantau Panjang itu yang akan diteliti anggota penguat kuasa di kaunter ICQS bagi memudahkan pemeriksaan di sempadan berdasarkan senarai itu, namun pelaksanaannya hanya boleh dibuat dengan persetujuan kedua-dua negara,” katanya kepada BH, di sini.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 303 murid dan pelajar yang tinggal di Thailand menggunakan pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang, diberi empat pilihan sebelum pelaksanaan larangan rentas sempadan bermula hari ini.

Pelajar-pelajar sekolah menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand bagi memulakan sesi persekolahan. - Foto fail
Pelajar-pelajar sekolah menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand bagi memulakan sesi persekolahan. – Foto fail

Empat pendekatan itu adalah pelajar disaran tinggal di asrama atau menumpang asrama berdekatan sekiranya asrama di sekolah mereka penuh atau tiada kemudahan itu.

Pelajar juga disaran menyewa rumah sekitar sekolah dan pilihan terakhir, perlu menggunakan ICQS untuk berulang alik dari rumah ke sekolah.

Zakaria berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, tidak berlaku kesesakan di sempadan pada waktu pagi kecuali jika pada musim cuti persekolahan.

Sementara itu, mengulas penggunaan pas sempadan membabitkan murid sekolah dari Golok ini, Zakaria berkata, pihaknya hanya membenarkan murid di bawah usia 12 tahun melalui ICQS bersama ibu atau bapa mereka yang mempunyai kerakyatan Malaysia atau individu dewasa yang diberi kuasa untuk mengiringi kanak-kanak terbabit.

“Mungkin pelaksanaan larangan penggunaan pangkalan haram ini, menyebabkan ibu bapa sukar menghantar anak mereka berulang alik ke sekolah melalui ICQS setiap hari.

“Jadi, kita sarankan ibu bapa terbabit memberi surat kuasa kepada pemandu van atau bas sekolah untuk membawa anak mereka di bawah usia 12 tahun ini melalui sempadan negara.

“Proses ini bertujuan melancarkan perjalanan murid berkenaan dengan syarat, mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Zakaria berkata, sejak pengumuman pengharaman rentas sempadan dibuat, pihaknya menerima 34 permohonan pas sempadan dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu daripada murid berusia 12 hingga 17 tahun dan yakin jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa.

Mengulas sama ada pelajar dari Golok ini boleh diberikan pas pelajar khas seperti mereka yang tinggal di Johor dan bersekolah di Singapura, beliau berkata, penyelesaian ke arah itu belum diputuskan lagi kerana kajian mengenainya perlu dibuat dengan teliti berikutan pelajar Malaysia di Golok ini membabitkan jumlah ramai.