MB Kedah, keluarga berpindah, kediaman rasmi dinaiki air

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta keluarga terpaksa berpindah semalam, ke tempat yang lebih selamat selepas kediaman rasminya di Seri Mentaloon semakin dinaiki air.

Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid berkata keputusan itu dibuat selepas paras air di rumahnya semakin meningkat mulai pagi semalam.

Katanya, paras air pada sebelah petang pula sudah hampir satu meter kesan daripada limpahan Sungai Anak Bukit yang terletak di belakang Seri Mentaloon.

“Menteri Besar membuat keputusan untuk berpindah lebih awal tengah hari tadi ke tempat yang lebih selamat,” katanya semalam.

Helmi bagaimanapun tidak menyatakan lokasi Muhammad Sanusi dan keluarganya berpindah.

Menerusi video Tik Tok yang dikongsi Helmi, Muhammad Sanusi kelihatan menggendong anak perempuannya keluar daripada kediaman itu manakala isterinya Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan anak-anaknya yang lain turut mengangkat beg.

Media melaporkan kediaman rasmi Menteri Besar setinggi dua tingkat ditenggelami air sejak pagi.

Kediaman rasmi berkenaan terletak hanya tidak sampai 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit.