MBI kesan punca sisa minyak bersama banjir di Arena Kepayang Putra

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam usaha mengesan punca sisa berminyak bersama sampah yang datang bersama banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park, di sini semalam.

Ahli Majlis MBI, Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata, semalam beliau telah turun ke lokasi untuk membuat tinjauan serta meredah air banjir yang berada pada paras pinggang bersama sisa berminyak termasuk sampah.

Beliau menjelaskan, sampah yang terapung dalam air banjir itu adalah sisa buangan daripada rumah penduduk kerana lori sampah milik syarikat konsesi yang bertanggungjawab tidak dapat memasuki kawasan berkenaan bagi memungut sampah akibat kenaikan paras air.

“Sisa minyak berkenaan mungkin datang dari rumah-rumah kedai termasuk restoran dan bengkel kenderaan di kawasan berdekatan.

“Bagaimanapun ini cuma andaian saya, memandangkan tidak logik juga sisa minyak itu terlampau banyak sehingga meliputi dua lorong di perumahan itu.

“Ada dua lorong dekat situ yang air banjirnya berminyak dan sampah terapung seperti video yang tular dan dua lorong itu pun betul-betul berdekatan dengan Sungai Kinta. Kami pun masih lagi cuba kenal pasti dari mana datangnya minyak itu,” katanya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Hamzah berkata, badannya turut mengalami gatal-gatal akibat meredah air banjir berminyak dan sampah itu.

“Selepas membersihkan badan, saya rasa gatal di seluruh badan walaupun secara dasarnya minyak yang dibawa bersama banjir itu tidaklah berbau busuk,“ katanya kejadian banjir itu adalah yang pertama dihadapi penduduk sejak mula mendiami kawasan itu 24 tahun lalu.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meluangkan masa melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Dato’ Azumu Tak, Kampung Kepayang Masjid, tengah malam tadi.

Hari ini, anggota dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBI menjalankan kerja-kerja pembersihan pasca banjir sekitar kawasan Arena Kepayang Putra, Fair Park.

Semalam, tular di media sosial gambar serta video mengenai penduduk dan pasukan penyelamat yang mengharungi air banjir dipenuhi sampah dan berminyak di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette

Source :