Tangkak kembali banjir, terkini 924 mangsa banjir di Johor

JOHOR BAHRU – Daerah Tangkak kembali dilanda banjir selepas sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) kembali dibuka pada pukul 2 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, seramai 46 penduduk dari Kampung Teluk Rimba, Kampung Parit Sialang dan Kampung Parit Dahlan dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Penghulu Long.

“Perpindahan ini melibatkan kawasan baharu dilanda banjir seperti Kampung Teluk Rimba dan Kampung Parit Dahlan manakala Kampung Sialang kembali dilanda banjir,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, selain Tangkak, daerah Segamat masih menempatkan mangsa banjir paling ramai.

Katanya, sejumlah 878 mangsa banjir melibatkan 251 keluarga ditempatkan di 17 PPS, antaranya penduduk Kampung Bukit Tunggal, Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Awat, Kampung Pudu dan Kampung Pogoh Tengah.

Azmi memberitahu, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Johor yang melibatkan dua daerah itu ialah 924 orang daripada 264 keluarga di 18 PPS setakat pukul 8 malam ini.

Dalam pada itu katanya, dua sungai di negeri ini dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap iaitu 4.20 meter berbanding paras bahaya 4.00 meter.

“Begitu juga Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam dengan bacaan 4.20 meter berbanding paras bahaya 4.00 meter,” tambahnya.- MalaysiaGazette

Source :