Tentera Darat atur gerak 7 Tim SAR cari anggota hilang di Banding, Perak

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengatur gerakan tujuh Tim Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang anggotanya yang hilang ketika melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah, di Permatang, sempadan Malaysia-Thailand.

Anggota yang hilang, Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tarmimi, dari pasukan 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, adalah seorang daripada dua anggota yang hilang ketika melaksanakan penugasan rondaan dalam operasi di Banding, Perak, jam 8 pagi, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, seorang lagi anggota, Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin, dari pasukan 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka, ditemui meninggal dunia jam 6 petang pada keesokan harinya di tepi sungai, kira-kira tiga kilometer (km) dari kedudukan Markas Trup.

Sel Perhubungan Raya, Markas Tentera Darat Malaysia berkata, tujuh Tim SAR terdiri lima pegawai dan 112 anggota digerakkan mencari dan menyelamat Lans Koperal Ahmad Zulhilmi.

“Tujuh Tim SAR yang digerakkan adalah Pasukan 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD), 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan 22 Komando, bermula dari tempat kejadian di Sungai Merah menyusuri sepanjang Sungai Perak.

“Sehingga kini operasi masih diteruskan bagi mengesan anggota terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ketika hari kejadian kedua-dua anggota bersama tujuh lagi yang lain dibawa arus dalam kejadian kepala air ketika melaksanakan rondaan dalam Operasi Kota, Echo, Foxtrot, Siri 6 2024, sebelum tujuh lagi ditemukan selamat sekitar jam 12.30 tengah hari pada hari kejadian.

“Operasi Kota, Echo, Foxtrot adalah operasi pengawasan, pemantauan keselamatan sempadan untuk memastikan ketenteraman awam, mencegah ancaman keselamatan dan membendung aktiviti jenayah rentas sempadan di kawasan Malaysia-Thailand,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM, turut berduka cita di atas kehilangan seorang warganya dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mohd Afandi.

“Panglima Tentera Darat juga berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan anggota yang masih hilang iaitu Lans Koperal Ahmad Zulhilmi, akan segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.