Keyakinan tinggi pemain Sabah kunci tewaskan Kuching City

KUALA LUMPUR: Penolong ketua jurulatih Sabah, Alto Linus mengakui bukan mudah untuk pasukannya mengatasi Kuching City 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, semalam.

Alto mendedahkan keyakinan tinggi dan bermain sebagai satu pasukan menjadi kunci kejayaan skuad Sang Badak membawa pulang tiga mata penting dari gelanggang lawan.

Beliau berkata, prestasi pasukannya semakin meningkat dan berharap momentum kemenangan dapat diteruskan dalam perlawanan akan datang.

“Kuching City memberi tentangan yang sengit, bukan mudah untuk menang di sini dan kredit harus diberikan kepada pemain. Mereka beraksi dengan keyakinan tinggi dan semangat sebagai satu keluarga, itu menyebabkan kami dapat tiga mata.

“Sudah pasti masih ada yang harus kami perbaiki, namun secara keseluruhan saya lihat begitu positif kerana bukan mudah bermain di tempat lawan dan kami menang, itu sudah bagus,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah merampas kedudukan kedua liga daripada Selangor dengan kedua-dua pasukan itu terikat 29 mata.

Skuad Sang Badak yang sudah beraksi lebih satu perlawanan berbanding Gergasi Merah memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan manakala Kuching City yang mengumpul 18 mata berada di tangga kelima.

Sementara itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menyifatkan pasukannya berjaya mengawal permainan, namun kesilapan dalam situasi ‘set pieces’ menyebabkan mereka dihukum.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, paling penting saya gembira pemain beraksi dengan baik. Pasukan kami masih baru jika dibandingkan dengan Sabah, kami percaya kepada proses dan saya fikir kami akan bangkit lebih kuat selepas ini,” katanya.