Pempengaruh media sosial, Khairul Aming boleh ambil barang seberapa banyak di pasaraya Mydin dengan kebenaran daripada pengasasnya, Datuk Ameer Ali agar urusan membantu mangsa banjir dipermudahkan.
Menerusi satu hantaran di X, localrakyat telah memuat naik video memaparkan tangkap layar perbualan antara Khairul Aming dan Ameer menerusi siaran langsung di TikTok.
Khairul Aming boleh ambil barang seberapa banyak
Pada video tersebut, Ameer berkata dia membenarkan pempengaruh itu untuk mengambil barang-barang di pasarayanya untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan.
Katanya, dia percaya Khairul Aming seorang individu yang jujur dan membenarkan pempengaruh berusia 32 tahun itu untuk membayar kesemua barangan tersebut selepas banjir.
“Awak pergi ambil barang seberapa banyak yang awak nak, tak perlu hantar orang atau kad kredit apa semua. Awak mesej saja berapa credit limit awak nak, contohnya RM20,000 atau RM50,000.
“Lepas habis banjir nanti awak bayarlah, takpe. Kita percaya Khairul Aming,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Ameer turut menyumbangkan barangan dari pasarayanya berjumlah RM5,000 kepada mangsa banjir menerusi inisiatif Mydin Prihatin.
“Saya sumbangkan lagi RM5,000 barang kepada Mydin Prihatin,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Ameer sekali lagi memudahkan urusan Khairul Aming dengan memberikan maklumat pengurus besar di Mydin berdekatan dengan pempengaruh itu.
Susulan itu, Khairul Aming mengucapkan terima kasih kepada Ameer dan pengasas Mydin itu membalasnya dengan ucapan terima kasih juga atas usaha pempengaruh itu.
Artikel lain: “Jangan beri barang tak elok!” -Khairul Aming bagi amaran buat penderma bantuan banjir
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji tindakan pengasas Mydin itu kerana memudahkan urusan Khairul Aming dan pasukannya.
Semua pihak menang
Sebelum ini, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memaklumkan sebaik tiba di Kelantan pada Sabtu, dia berjaya mengumpulkan bantuan untuk 2,000 mangsa banjir di Pasir Mas hanya dalam masa dua jam.
Dalam pada itu, Khairul Aming memaklumkan dia tidak membuka tabung derma untuk membantu mangsa banjir kerana pempengaruh Pinn Yang sudah memberikan sumbangan besar kepada usahanya.
Sekadar info, jumlah mangsa banjir telah menurun sejak malam semalam daripada 148,024 kepada 136,498, namun meningkat sedikit pada pagi ini kepada 138,042.