IPOH: Pakar perubatan forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie tidak mati serta-merta selepas perlanggaran kenderaan pada 15 Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-24, Dr Ain Nurfarahana Hamdan, 35, berkata beliau bersetuju dengan peguam bela, M Athimulan yang mencadangkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu mengalami ‘trauma death’.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa mangsa meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas perlanggaran itu.
Athimulan: Boleh saya kata sebelum meninggal dunia, mangsa mengalami trauma death?
Dr Ain Nurfarahana: Ya
Athimulan: Setuju dengan saya trauma death boleh dicegah dengan menyediakan fasiliti dan akses rawatan yang betul, cepat serta efektif kepada orang yang cedera?
Dr Ain Nurfarahana: Secara am saya setuju
Athimulan: Adakah kes ini trauma death?
Dr Ain Nurfarahana: Ya
Athimulan: Oleh kerana kes ini trauma death, kecederaan yang terdapat atas badan mangsa mestilah berpadanan dengan kerosakan pada pakaian, setuju?
Dr Ain Nurfarahana: Setuju
Saksi pakar itu berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet ketika pemeriksaan balas pada hari ke-13 prosiding perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi.
Sementara itu, ditanya seorang lagi peguam, Datuk Mior Faridalathrash Wahid tentang kehadiran pegawai penyiasat ketika proses bedah siasat, Dr Ain Nurfarahana menjawab tidak pasti.
Saksi itu juga bersetuju dengan Mior Faridalathrash yang mencadangkan pegawai penyiasat perlu hadir ketika pemeriksaan bedah siasat untuk diterangkan kecederaan dialami mangsa.
Selain itu, saksi pakar itu mengesahkan jurufoto polis tidak berada bersama beliau sepanjang proses bedah siasat dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini bermula jam 3 petang hingga 4.45 petang, 15 Disember tahun lalu.
Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Dr Ain Nurfarahana menjelaskan bahawa kecederaan dialami Zaharif tidak menyebabkan kematian serta-merta.
Katanya, contoh kecederaan yang menyebabkan kematian serta-merta adalah pada batang otak.
“Berdasarkan hasil bedah siasat, saya boleh cadangkan si mati masih hidup (selepas perlanggaran) kerana salur pernafasannya ada buih-buih bercampur darah. Ini biasanya terjadi apabila seseorang sesak nafas,” katanya.
Mengenai trauma death boleh dicegah dengan fasiliti dan akses rawatan yang betul, cepat serta efektif, Dr Ain Nurfarahana menjelaskan bahawa perkara itu bergantung kepada keadaan.
“Ia bergantung kepada kes. Ada kes kecederaan yang disebabkan trauma yang mangsa hidup, ada yang menyebabkan kematian,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Athimulan, Mior Faridalathrash dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.