Bayi bertali pusat ditemui dalam beg di tangga flat

SUBANG – Penduduk sebuah perumahan flat pangsapuri Puchong Permai di sini telah dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bayi itu ditemukan orang awam pada pukul 4.30 petang semalam.

Polis menerima maklumat awam yang menjumpai bayi lelaki yang masih hidup dan bertali pusat itu yang ditinggalkan di tangga pangsapuri berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati bayi lelaki cukup sifat itu dijumpai dalam sebuah beg di tangga tingkat 10 flat terbabit. Bayi itu dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian dan badannya telah dibersihkan kerana tidak terdapat kesan darah pada tubuhnya,” katanya hari ini.

Jelas Wan Azlan, bayi itu dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk rawatan lanjut.

Pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu mempunyai berat badan 2.84 kilogram dan ketinggian 54 sentimeter.

“Bayi berkenaan kini berada dalam keadaan sihat dan stabil di hospital.

“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh tampil ke IPD Subang Jaya untuk membantu siasatan atau boleh menghubungi Inspektor Norhapizah Zulkapli di talian 017-234 0141 atau 03-7862 7222. – MalaysiaGazette

Source :