Pakai jubah redah banjir!

Pasir Mas: Demi mengubat kedukaan isteri tercinta yang tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen di kampus, Syahmi Naqiuddin Shaipuddin meraikan juga pasangannya itu walaupun dalam suasana banjir.

Menerusi video dimuat naik di TikTok, Syahmi Naqiuddin, 26, memberi jambangan bunga kepada isteri, Siti Nur Fatihah Che Ghani, 26, yang memakai jubah konvokesyen sambil berjalan meredah air.

Video dimuat naik dengan latar belakang muzik gamelan itu meraih lebih 76,000 tontonan dan rata-rata warganet kagum melihat kreativiti pasangan yang tetap ceria biarpun diuji dengan musibah banjir.

Bercerita lanjut, Syahmi Naqiuddin yang menetap di Kampung Lati, di sini, berkata, isterinya menamatkan pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DLPI) di bawah Fakuliti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada April lalu.

Katanya, Siti Nur Fatihah dijadualkan menghadiri majlis konvokesyen di kampus UKM, Bangi, Selangor pada 1 Disember lalu, namun tidak dapat hadir akibat banjir bermula 27 November lalu yang menyebabkan laluan keluar dari pantai timur terputus.

“Kami sudah rancang untuk hadiri majlis konvokesyen itu dengan keluarga. Isteri pun sudah ambil jubah di kampus namun nak buat macam mana, tak ada rezeki untuknya hadir ke majlis konvokesyen selepas berlakunya banjir.

“Sedih juga sebab kami sudah buat persiapan. Jadi saya cuba raikannya dengan minta bantuan adik perempuan untuk rakam video.

“Pada awalnya, isteri enggan kerana malu namun saya pujuk kerana mahu jadikan video ini sebagai kenangan. Kami tak sangka ia tular selepas memuat naiknya (video) di TikTok,” katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Syahmi Naqiuddin, ramai yang memberi kata semangat di ruangan komen dan sebagai suami, dia terharu malah berbangga dengan kejayaan isterinya menamatkan pengajian.

“Isteri sebelum ini bekerja pegawai perancang bandar malah memiliki Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah lulusan Universiti Sains Malaysia (USM), cuma dia bercita-cita menjadi guru dan kerana itu, dia sambung pengajian ke peringkat DPLI.

“Saya pun sambung belajar di peringkat DPLI secara PJJ di UKM namun bermula sedikit lewat, sebab itu isteri tamat pengajian terlebih dulu.

“Tahniah buat isteri kerana berjaya menamatkan pengajian dalam masa ditetapkan dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) tinggi.

“Dia layak diraikan walau dalam suasana banjir, saya berdoa supaya impiannya menjadi guru tercapai,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai jurutera dan menyambung pengajian untuk mengejar impian, juga bergelar guru.

Sementara itu, Siti Nur Fatihah mengakui terkilan kerana tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen sekali gus meraikan kejayaan dengan keluarga dan rakan sekuliah.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suami memahami dan cuba menceriakannya.

Source :