Restoran promosi budaya komunis diserbu polis

KUALA LUMPUR – Sebuah restoran berbeku yang dikesan mempromosi peralatan hidangan makanan dan minuman memaparkan cetakan gambar pemimpin komunis di Bandar Botanic Klang dekat sini diserbu polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, serbuan itu dilakukan  ke atas restoran terbabit yang terletak di Jalan Kasuarina 6, Bandar Botanic pukul 10 malam semalam.

Katanya, polis bertindak atas risikan yang dijalankan rentetan daripada pendedahan mengenai premis itu menerusi satu video berdurasi satu minit 25 saat yang tular dalam laman sosial.

“Polis mengambil tindakan segera dengan menyerbu restoran terbabit selepas terdapatnya elemen yang mempromosikan budaya komunis.

“Pada peringkat awal, kita menerima maklumat ini daripada pautan YouTube atas akaun ‘Luiswong90’ sebelum polis menjalankan risikan lanjut.

“Susulan daripada risikan yang dibuat, pihak Polis Daerah Klang Selatan kemudian melakukan serbuan serta menahan seorang lelaki yang merupakan pengurus restoran terbabit yang berusia 20 tahun,” katanya.

Hasil serbuan sama, polis turut merampas lima mangkuk seramik warna putih dengan catitan tulisan Bahasa Cina dan gambar muka Presiden Komunis China, Mao Zedong bersama rakan-rakannya.

Cawan kaca teh seramik tercatit tulisan Bahasa Cina berserta gambar, sudu sup seramik mempunyai gambar Mao Zedong dan resit perniagaan juga dirampas untuk tindakan lanjut.

Tambah Razarudim, hasil soal-siasat lanjut terhadap suspek yang bekerja di premis itu sejak Oktober tahun lalu mendapati barangan peralatan hidangan itu dibeli oleh rakan pemilik restoran yang tinggal di negara China untuk digunakan di restoran tersebut.

Jelasnya lagi, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi dan kini ditahan reman selama dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan lanjut.

“Pada masa yang sama, polis juga akan membuat semakan status lesen perniagaan premis itu dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Selain itu, semakan juga akan dilakukan ke atas pemilik akaun ‘luiswong90’ kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Polis sentiasa komited dalam memastikan tiada mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian di dalam negara selain mendatangkan kegusaran awam,” tegas Razarudin lagi.- MalaysiaGazette

Source :