2,000 peserta hadir Karnival Kerjaya MADANI Orang Asli

SUNGAI SIPUT: Kira-kira 2,000 peserta menyertai Karnival Kerjaya MADANI Orang Asli Negeri Perak Tahun 2024 di Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong, di sini, kelmarin.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang julung kali diadakan di Perak dan memberi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli itu buat kali pertama membabitkan penyertaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

EXCO Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata selain menggalakkan masyarakat Orang Asli memohon dan menyertai perkhidmatan awam, karnival itu juga bertujuan membuka minda pesertanya mengenai peluang dan kelebihan program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, melalui program itu, pesertanya diberikan taklimat serta sesi konsultansi berkaitan kerjaya dan program latihan TVET, terutama apabila Perak diunjur membuka 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 menerusi beberapa projek perindustrian berskala mega di negeri ini.

“Dalam pelan pembangunan negeri iaitu Perak Sejahtera 2030, TVET memainkan peranan penting, terutama dari segi peluang pekerjaan untuk generasi belia, termasuk masyarakat Orang Asli.

“Pembangunan kawasan industri baharu yang kerajaan Perak wujudkan hari ini seperti di kawasan Kerian, Lumut, dan Tanjung Malim memperlihatkan keperluan untuk generasi belia mengisi pasaran kerja yang dijangka menghampiri 100,000 menjelang 2030.

“Bermakna, kalau tidak berjaya dalam permohonan SPA, mereka masih ada peluang untuk mengikuti program TVET seterusnya bekerja walaupun juga tidak berpeluang masuk ke universiti, dalam memenuhi keperluan industri itu,” katanya ketika berucap merasmikan karnival, mewakili Menteri Besar.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor dan Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Sementara itu, dua beradik Orang Asli dari Pos Iskandar, di Bera, Pahang sanggup menempuh perjalanan kira-kira 400 kilometer (km) untuk menyertai karnival berkenaan.

Tawar pelbagai peluang kerja

Norsuhaida Ripin, 26, dan adiknya, Norsuhaila Ripin, 24, membuat keputusan itu selepas menyedari program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu membuka peluang kepada belia Orang Asli untuk memohon menyertai perkhidmatan awam.

Norsuhaida berkata, peluang sebegitu tidak dilepaskannya terutama memandangkan dia sebagai lulusan Kolej Vokasional Muadzam Shah, Pahang kini menganggur selepas berhenti dari kerja di sebuah kilang pada Mei lalu selain tidak pernah berputus asa daripada memohon perkhidmatan awam secara dalam talian.

“Selain adik, saya datang ke sini berlima iaitu bersama tiga sepupu kami yang menetap di Gombak, Selangor. Sebelum ini memang saya mengisi permohonan dalam talian bagi memasuki perkhidmatan awam menerusi portal SPA setiap tahun namun berjaya sekadar tahap menduduki ujian psikometrik sahaja.

“Mungkin dengan kehadiran saya ke sini kali ini, rezeki saya pula untuk dapat memasuki perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui di karnival berkenaan.

Sementara itu, Sapiah dalam ucapannya berkata, JAKOA menghargai fungsi SPA dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) selaku penganjur bersama karnival itu.

Katanya, melalui penyampaian maklumat secara berkesan menerusi karnival itu, ia diharap dapat menggalakkan golongan belia masyarakat Orang Asli memohon untuk menyertai perkhidmatan awam.