Baru-baru ini, sesetengah penduduk Putra Heights telah membicarakan tentang perangai seorang makcik yang didakwa sering mengherdik jemaah yang membawa anak-anak ke masjid sebuah kawasan perumahan di situ.
Ceritanya bermula apabila ada seorang individu berkongsi di Facebook Group tentang makcik ini yang menengking seorang wanita kerana membawa anak kecilnya.
Malah, menurut beberapa saksi makcik itu tetap terus memarahi wanita berkenaan dengan kuat sekali meskipun dia sudah meminta maaf banyak kali.
Individu terbabit membuat hantaran tersebut dengan harapan ada anak-anak makcik tersebut nampak dan boleh menasihatinya.
Mungkin boleh nasihat ibu anda dan lihat bagaimana dia melayan ibu ibu yang bawa anak kecik. Even anak yang dah besar.
Difahamkan kejadian itu bukanlah pertama kali, sebaliknya ia pernah berlaku kepada jemaah lain sebelum ini.
Menerusi hantaran itu, ramai memberi respon di ruangan komen dan segelintir individu mendakwa mereka juga pernah terkena dengan makcik yang sama dan ada yang menjadi saksi kejadian sedemikian di masjid.
Dalam pada itu, seorang lelaki meminta agar pihak Masjid Putra Heights untuk ambil perhatian berkaitan isu ini memandangkan ramai yang sudah terkena dengan orang yang sama.
Bagaimanapun, segelintir individu berpendapat isu membawa anak ke masjid ini tidak seharusnya satu pihak saja dipersalahkan. Ibu bapa yang membawa anak-anak kecil di masjid perlulah sentiasa perhatikan tindakan mereka terhadap jemaah lain.