ALOR SETAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas, Mohd Fauzi Omar, 33, yang dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di Sungai Tajar, Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar semalam, diteruskan hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, operasi hari kedua hari ini tertumpu di lokasi mangsa dilaporkan tenggelam jam 5.01 petang semalam.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai datang ke lokasi ini untuk memukat ikan.
“Berdasarkan saksi kejadian yang ditemu bual, kita sudah mengenal pasti kawasan ‘hot spot’ yang disyaki untuk memudahkan pencarian.
“Operasi hari ini membabitkan 12 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Jitra dan Sungai Petani untuk mempeluaskan pencarian mangsa dan operasi dilakukan hampir 17 jam sejak mangsa dilaporkan tenggelam.
“Cabaran yang dilalui anggota Bomba hari ini membabitkan kawasan yang agak dalam iaitu kedalamannya kira-kira lima meter,” katanya ketika ditemui di lokasi SAR, hari ini.
Ahmad Naufal berkata, selain itu, cabaran yang dihadapi anggota adalah disebabkan kawasan sungai berselut selain penyelaman agak kabur dan tidak dapat dilihat.
Beliau berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.
“Kami turut menghadapi kesukaran apabila akses jentera tidak dapat masuk kerana laluan jalan yang sempit dan terpaksa menggunakan pacuan empat roda untuk sampai ke lokasi.
“Selain itu, di tebing sungai itu banyak terdapat sisa kayu namun cuma di bahagian tengah saja aliran agak sedikit.
“Radius pencarian dilakukan sekitar 100 hingga 200 meter dari kawasan mangsa disyaki lemas dan jarak daripada tebing dengan tempat mangsa dilihat sekitar tiga meter,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki berusia 30-an dikhuatiri lemas di Sungai Tajar, Jalan Datuk Kumbar, dekat sini dan operasi mencarinya sedang dilakukan.
Tamat
From: Zue