SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melaksanakan kawalan kenaikan cukai taksiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga 25 peratus dari nilai cukai semasa yang dikenakan pada tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, berkata cukai baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.
Dengan kawalan kenaikan cukai 25 peratus, katanya, pemilik harta yang sudah lama tidak dibuat semakan akan menerima diskaun sehingga 75 peratus pada cukai taksiran baharu bagi kenaikan melebihi 100 peratus.
“Sebagai contoh, jika cukai taksiran pangsapuri yang dibayar pada 2024 berjumlah RM100 setahun, selepas penilaian semula ia menjadi RM200 setahun yang patut dikutip oleh PBT.
“Perbezaan ketara ini disebabkan jurang kadar sewa yang digunakan dalam menentukan kiraan cukai taksiran seperti mana diperuntukkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Kawalan kenaikan cukai taksiran sehingga 25 peratus ditetapkan kerajaan negeri menjadikan jumlah cukai baharu yang dibayar pada 2025 kepada RM125 setahun, berbanding RM200 yang patut dikutip oleh PBT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Suee Lim berkata, bagi pegangan yang membuat perubahan matan atau kegunaan bangunan, ia akan dinilai seperti mana nilai di tapak dan tiada pengurangan diberikan.
Beliau berkata, pelaksanaan kadar cukai taksiran baharu ditangguh sejak 2019, mengambil kira beberapa faktor termasuk keadaan ekonomi semasa.
Jelasnya, kadar cukai taksiran baharu itu adalah langkah memastikan kepatuhan dan penguatkuasaan yang lebih efektif dalam bidang penilaian serta perkhidmatan awam di seluruh negeri.
“Ia dilaksanakan sejajar Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang mana senarai satu nilaian baharu hendaklah disedia dan disiapkan oleh semua PBT setiap lima tahun,” katanya.
Suee Lim berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha mempertingkat keupayaan PBT dengan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti kemudahan awam, jalan raya, lampu jalan, perparitan dan taman awam yang diperlukan bagi memastikan kawasan kediaman sentiasa selesa, bersih dan selamat didiami.
“Komitmen ini adalah langkah signifikan dalam memperkukuh perkhidmatan PBT Selangor,” katanya.