Zuraida akan bayar RM100,000 dalam bentuk RM1 kepada PKR

Putrajaya: Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin mengakui akan membayar RM100,000 dalam bentuk RM1 kepada parti itu selepas Mahkamah Rayuan hari ini, membenarkan sebahagian rayuannya kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk See Mee Chun, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid sebulat suara hari ini mengenepikan sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun tahun lalu yang memerintahkan Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta kepada PKR kerana bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat.

Zuraida berkata, dia hanya perlu membayar RM60,000 kepada parti itu kerana mahkamah memerintahkan kos RM40,000 perlu ditanggung PKR.

“Walaupun mereka sudah jadi kerajaan, mereka masih mengutip derma, jadi kita bagi lah mereka.

“Kalau ikut hati saya, saya tak mahu bayar walau RM1 pun,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini.

Akuinya, itu adalah pengajaran kepada semua parti yang hendak mengikat orang untuk kesetiaan.

“Kesetiaan bukan terletak kepada parti, tapi letak kepada perjuangan.

“Alhamdulillah, saya gembira hakim melihat kesetiaan dan menerima hujahan saya,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan pembelaan Zuraida, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, mahkamah memutuskan jumlah RM10 juta itu tidak munasabah untuk dibayar anak guamnya.

“Apa-apa ganti rugi yang perlu dibayar perlulah munasabah dan perlu ditunjuk ianya munasabah.

“Dan pada hari ini, mahkamah memutuskan bahawa jumlah RM10 juta itu tidak munasabah, dan pihak defendan yang menuntut itu gagal untuk membuktikan bahawa RM10 juta itu adalah satu jumlah yang munasabah.

“Pada pendapat hakim pada hari ini, jumlah yang munasabah ialah hanya perbelanjaan ketika pilihan raya yang dibenarkan di bawah undang-undang untuk sesuatu kawasan parlimen,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan yang dibenarkan oleh undang-undang ialah RM200,000 untuk setiap kerusi Parlimen, maka mengambil kira tempoh 22 bulan Zuraida berkhidmat menjadi wakil rakyat PKR, jumlah itu adalah munasabah.

Ditanya sekiranya defendan iaitu PKR akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, pasukannya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Source :