Bayi ‘ditahan’ di hospital: Polis sahkan terima laporan bapa, akan panggil pihak hospital

KUALA LUMPUR: Polis Selangor akan memanggil beberapa individu termasuk pihak hospital berhubung isu mayat bayi yang ‘disimpan’ dalam peti sejuk selepas ibu bapanya didakwa tidak menjelaskan bayaran bil hospital terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ia susulan satu laporan polis diterima pihaknya hari ini daripada bapa kepada bayi terbabit.

Beliau berkata, laporan itu diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sedang menjalankan siasatan secara mendalam untuk menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam isu ini serta menanganinya sebaik mungkin.

“Mereka yang berkaitan termasuk pihak hospital akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan bapa kepada bayi lelaki terbabit kecewa dan sedih dengan tindakan hospital ‘menahan’ mayat anaknya yang berusia 16 hari itu.

Pekerja kilang itu berkata, anak sulungnya dilahirkan tidak sempurna tanpa sebelah mata, hidung dan lubang dubur meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran.

Mengulas lanjut, Hussein menegaskan bahawa dakwaan yang tidak disahkan berpotensi untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Justeru, beliau mengingatkan pengguna media sosial supaya mengelak daripada menyalahgunakan platform berkenaan untuk menyebar kandungan tidak sahih sehingga mengakibatkan kegusaran awam.

Beliau juga berharap semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan sebenar.