KOTA KINABALU: Keputusan memanggil pulang pemain Sabah FC daripada menyertai perlawanan seterusnya bersama Harimau Malaya adalah sejajar perjanjian awal antara kelab itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengendali baharu skuad Sang Badak, Martin Stano, menjelaskan perjanjian itu dibuat sebelum pihaknya melepaskan pemain terbabit menyertai pasukan kebangsaan sebelum ini.
Katanya, tiga daripada pemain terbabit, iaitu Stuart Wilkin, Dominic Tan dan Daniel Ting diperlukan untuk membantu Sabah FC menghadapi Kuching City FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia yang bermula di Stadium Negeri, Kuching, Ahad ini.
“Kehadiran mereka sudah tentu akan meningkatkan kualiti, keseimbangan dan semangat berpasukan untuk mencapai keputusan positif nanti.
“Ini sejajar dengan perjanjian awal antara Sabah FC dengan FAM sebelum melepaskan pemain ini untuk melengkapkan tugasan bersama pasukan kebangsaan,” katanya mengulas persiapan Sabah FC menghadapi cabaran suku akhir Piala Malaysia kali ini.
Perlawanan di gelanggang jiran itu adalah aksi pertama di bawah bimbingan Stano setelah pengurusan Sabah FC melantiknya sebagai ketua jurulatih yang baharu berkuatkuasa 10 Disember lalu menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang tidak menyambung kontraknya yang tamat akhir bulan lalu.
Stano berkata, kepulangan tiga pemain kebangsaan itu untuk kembali bersama pasukan sudah pasti melegakan pihaknya bagi memastikan Sabah dapat melakar keputusan yang positif pada perlawanan di Kuching nanti.
“Sudah tentu kita gembira, lebih-lebih lagi apabila kapten pasukan, Park Taesu sudah boleh beraksi pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia ini.
“Kami akan melakukan yang terbaik. Walaupun menang dalam perlawanan terakhir Liga Super di Kuching sebelum ini, tetapi ia berbeza dengan permainan dalam Piala Malaysia,” katanya.
Selain tiga pemain kebangsaan terbabit, seorang lagi iaitu Darren Lok juga tidak dapat meneruskan permainan bersama Harimau Malaya berikutan mengalami kecederaan.
Masalah itu juga menyebabkan Darren tidak dapat dibawa ke Kuching untuk membantu Sang Badak dalam kempen suku akhir Piala Malaysia kali ini.