Polis cari Nur Soleeha hilang ikut teman lelaki

KUANTAN – Polis sedang mencari seorang remaja perempuan yang berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai mengikut teman lelaki yang baru dikenali sebagai ’Ikhwan’.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan individu bernama Nur Soleeha Sorfina Zabri semalam.

Beliau berkata, menurut pengadu, ibu mangsa menyedari kehilangan anak gadisnya pada pukul 3 pagi apabila tiada di bilik di rumah mereka dekat Taman Sri Inderapura di sini.

”Ibu mangsa telah mencari di sekitar kawasan Kuantan tetapi gagal jumpa. Pengadu syaki anaknya telah keluar mengikut kawan lelakinya nama Ikhwan.

”Pengadu menyedari kehilangan Nur Soleeha ketika pengadu mengemas dan menyapu rumah pada pukul 2 pagi dan dia dilihat kali terakhir pada pagi semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Wan Mohd Zahari, pengadu memaklumkan insiden tersebut bukan kali pertama mangsa dilaporkan hilang atau tidak balik ke rumah kerana mengikut kawan lelaki.

Susulan itu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sedang mengesan dan meminta bantuan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkaitan individu tersebut.

”Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa dengan remaja ini boleh berhubung terus dengan mana-mana balai polis yang berdekatan.

”Sekiranya mempunyai maklumat mengenai lokasi OH tersebut boleh terus menghubungi balai polis yang berdekatan atau menghubungi IPD Kuantan di talian Hotline  09-565 2089 – MalaysiaGazette

Source :