KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Thailand ditahan polis kerana disyaki melepaskan tembakan ke arah pos kawalan pasukan keselamatan di sempadan negara di Padang Besar, 12 Disember lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, susulan itu kedua-dua suspek berusia 21 dan 28 tahun itu telah ditahan di Songkhla, Thailand, pada Jumaat.
Katanya, kejadian terbabit berlaku sekitar jam 10.28 pagi ketika dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondakan berhampiran pos kawalan keselamatan sempadan itu.
“Beberapa das tembakan telah didengari oleh anggota bertugas dari arah Thailand dan ternampak kelibat dua lelaki menaiki sebuah motosikal di kawasan negara jiran itu.
“Kemudian, mereka segera memaklumkan kejadian itu kepada pasukan untuk bantuan sebelum suspek dilihat beredar. Kedua-dua anggota juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Berikutan itu katanya, polis menjalankan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua suspek disyaki datang dari arah kebun getah dengan menaiki motosikal.
“Suspek telah memberhentikan motosikal sebelum mengeluarkan senjata jenis pistol automatik dan melepaskan kira-kira 10 das tembakan ke arah Malaysia.
“Suspek kemudian dilihat mengutip kelongsong peluru sebelum beredar menggunakan laluan sama disyaki ke dalam kebun getah,” jelasnya.
Tambah Razarudin, siasatan dijalankan dan disalurkan kepada Polis Thailand yang membawa kepada penahanan kedua-dua suspek di sebuah premis di Songkhla, pada 10.40 pagi (waktu Malaysia), sehari selepas kejadian.
“Hasil soal siasat, suspek mendakwa meminjam senjata itu daripada seorang rakan dan mengaku melepaskan tembakan ke arah Malaysia untuk mencuba senjata berkenaan.
“Bagaimanapun, senjata itu sudah dipulangkan semula kepada rakan selepas kejadian dan Polis Thailand kini sedang giat mengesan rakan suspek yang juga pemilik senjata untuk siasatan lanjut,’” ujarnya. – MalaysiaGazette