KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya sedang menghitung nasib mengenai peluang mereka untuk meraih tiket ke pusingan separuh akhir Piala ASEAN 2024.
Situasi sukar terpaksa dihadapi skuad kendalian Pau Marti Vicente susulan kekalahan tipis 0-1 kepada Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan A di Stadium Rajamangala, Bangkok Sabtu lalu.
Kini, Harimau Malaya perlu mengharapkan bantuan Thailand supaya menewaskan Singapura di Stadium Nasional, Kallang, malam ini bagi membuka peluang lebih cerah untuk merebut tiket ke separuh akhir.
Seandainya Singapura dan Thailand seri, ia akan menambah kesukaran buat Harimau Malaya memburu slot ke separuh akhir meskipun bakal berdepan skuad Singa dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini.
Thailand dan Singapura menghuni dua kedudukan teratas kumpulan ketika ini dengan mengumpul enam mata, dua mata di depan Malaysia yang berada di tangga ketiga.
Malah, skuad Gajah Perang dan Skuad Singa memiliki kelebihan besar dari segi jumlah perbezaan jaringan berbanding Harimau Malaya.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menagih sokongan penuh daripada seluruh peminat terutama apabila skuad negara akan melayan kunjungan Singapura di gelanggang sendiri, Jumaat ini.
Malah, pengendali dari Sepanyol itu berharap peminat tidak membuat kritikan yang melampau hingga boleh menjatuhkan moral pemain yang ketika ini berada dalam situasi sukar.
“Pasukan berdepan situasi sukar, kami kehilangan beberapa pemain penting. Ramai juga pemain menerima kritikan terhadap persembahan mereka.
“Ini pasukan kebangsaan, saya fikir pemain juga berhak untuk dihormati, berhak mendapat peluang dan berhak mendapat sokongan daripada orang ramai.
“Kami berada dalam kejohanan dan kami mahukan kemenangan untuk Malaysia. Saya cuma berharap peminat memahami dan perlawanan selepas ini di Bukit Jalil, saya harap kami akan mendapat sokongan yang terbaik,” katanya.
Persembahan Harimau Malaya dikritik ketika terikat 2-2 dengan pasukan ranking 180 dunia, Kemboja dan meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Timor Lester (ranking 196) dalam dua aksi awal sebelum ini.
Penjaga gol skuad negara, Haziq Nadzli menjadi sasaran kecaman peminat selepas kesilapannya pada minit ke-57 mencetuskan jaringan kemenangan Thailand.