Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung status perkahwinan ibu bapa bayi lelaki yang disimpan di dalam peti sejuk beku di sebuah hospital swasta di Klang.
Katanya, siasatan berhubung status perkahwinan mereka masih dijalankan dan bakal maklumkan jika terdapat perkembangan yang lebih substantif.
Setakat ini lima sudah dirakam keterangan membabitkan ibu bapa bayi itu, dua doktor dan seorang rakan ibu bapa.
Terdahulu, tular tentang isu jenazah bayi yang baru lahir tersebut didakwa telah ‘ditahan’ di dalam peti sejuk beku selama dua minggu dan tidak dibenarkan dituntut kerana bayaran belum dibuat.
Isu ini menjadi tular kerana netizen menyelar tindakan hospital yang dianggap tidak berperikemanusiaan dan ia menjadi semakin panas apabila kenyataan kedua-dua belah pihak bercanggah.
Sementara itu, peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili bapa bayi itu, Safwan Roshdy, 22, memaklumkan akan mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menabur fitnah kepada anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.
Terdahulu, Safwan yang ditemani Ahmad Zaharil telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara terhadap hospital swasta itu kerana didakwa melengahkan proses menguruskan jenazah bayinya, Muhammad Adham Mikail.