LILONGWE: Penghujung Siklon Tropika Chido yang melanda selatan Malawi semalam meragut dua nyawa dan menyebabkan 8,100 orang kehilangan tempat tinggal, menurut Charles Kalemba, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Pengurusan Bencana.
Kalemba dalam satu kenyataan semalam berkata laporan awal daripada lebih 15 majlis perbandaran yang terjejas oleh siklon itu menunjukkan dua kematian berlaku akibat runtuhan dinding rumah dan siklon itu turut menerbangkan bumbung rumah membabitkan hampir 1,800 kediaman, lapor Xinhua.
Siklon itu turut merosakkan infrastruktur awam termasuk kemudahan kesihatan, sekolah dan pejabat kerajaan di kawasan terjejas, termasuk di ibu negara Lilongwe.
Kerajaan, melalui Jabatan Hal Ehwal Pengurusan Bencana, Persatuan Palang Merah Malawi dan agensi lain mengerahkan sumber untuk operasi mencari dan menyelamat.
Sekolah di selatan Malawi yang ditutup pada Isnin dibuka semula pada Selasa setelah pihak berkuasa memutuskan keadaan kembali selamat.
Menurut Jabatan Perubahan Iklim dan Perkhidmatan Meteorologi, Siklon Chido kini meninggalkan Malawi dan tidak lagi menjadi ancaman kepada negara itu. – BERNAMA-XINHUA