Penganggur cuba rogol peniaga dalam tandas awam

KLUANG – Polis menahan seorang penganggur yang memiliki sembilan rekod jenayah termasuk dadah selepas disyaki cuba merogol seorang peniaga wanita dalam tandas awam di Laman Kreatif, Kampung Melayu di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Hussin berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 5.20 petang dalam tandas awam wanita melibatkan mangsa yang berusia 24 tahun.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berada dalam tandas awam wanita dan semasa masuk dalam tandas mangsa mendapati satu tandas pintu bertutup.

“Mangsa tidak mengesyaki apa-apa dan ingin menggunakan tandas. Semasa mangsa mahu masuk ke dalam tandas hadapan, tiba-tiba suspek keluar dari tandas belakang dan menyuruh mangsa diam.

“Apabila mangsa mahu keluar dari tandas itu, suspek terus mengunci pintu tandas dan menghalang pintu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Mohd Azmi berkata, mangsa kemudian menjerit meminta bantuan tetapi suspek mendekatinya sebelum wanita itu terjatuh lalu suspek menindih badan mangsa dalam keadaan mukanya diletakkan di dada mangsa.

Menurutnya, tangan kiri suspek merangkul pinggang mangsa manakala tangan kanannya pula menekup mulut wanita berkenaan.

“Mangsa berasa takut lalu mengigit tangan suspek dan mencakar mukanya. Mangsa sempat melarikan diri keluar dari tandas,” ujarnya.

Nik Mohd Azmi berkata, kejadian itu dilaporkan oleh orang awam dan bertindak atas maklumat, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melakukan tangkapan ke atas saspek di tandas awam berkenaan.

Ujarnya, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan Majistret Mustaqim Sukarno selama empat hari bermula hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular dalam Facebook foto orang ramai menangkap seorang lelaki yang didakwa cuba merogol seorang wanita dalam tandas wanita di Laman Kreatif, Kampung Melayu, Kluang- MalaysiaGazette

Source :