MANCHESTER: Pemain Manchester United, Marcus Rashford sekali lagi dipinggirkan daripada skuad Ruben Amorim, kali ini untuk aksi suku akhir Piala Liga menentang Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Selepas digugurkan ketika kemenangan 2-1 ke atas Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad pada Ahad, pemain dengan gaji tertinggi di Old Trafford itu turut tidak tersenarai untuk kunjungan ke Stadium Tottenham Hotspur.
Rashford pada Isnin lalu mengumumkan yang dia bersedia untuk cabaran baharu di luar United selepas dua dekad bersama kelab itu, sehari selepas dipinggirkan untuk derbi Manchester.
Alejandro Garnacho, yang turut tercicir daripada skuad Amorim ketika kunjungan ke Etihad, kembali bersama pasukan untuk aksi Piala Liga bagi merebut tempat terakhir di separuh akhir.
Garnacho baru sahaja memenangi anugerah Puskas bagi jaringan akrobatiknya ketika menentang Everton di Goodison Park musim lalu.
Amad Diallo yang menjaringkan gol kemenangan pada aksi Ahad lalu akan bersama-sama Casemiro, Harry Maguire, Manuel Ugarte dan Antony untuk pertemuan Piala Liga di Tottenham.
Pemain sayap 22 tahun itu mencetus kebangkitan United di Etihad dengan memenangi penalti yang disempurnakan Bruno Fernandes pada minit ke-88 sebelum menjaringkan gol dua minit kemudian.
Amorim masih belum menutup pintu buat Rashford dan mahu mengekalkannya di Old Trafford, tetapi kelab sedia melepaskannya pada harga sekitar 40 juta pound (RM226.75 juta).
Spurs menanti United selepas merakam kemenangan 5-0 ke atas Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Skuad kendalian Ange Postecoglou menamatkan deretan lima perlawanan tanpa kemenangan dengan keputusan positif di St Mary’s itu. – AGENSI