[TERKINI] Rosmah lepas, bebas 17 tuduhan ubah wang haram, elak cukai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Najib Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.

Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu, selepas sebahagiannya kes ini didengar dengan keterangan daripada dua saksi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Tertuduh didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Rosmah dalam permohonannya sebelum ini berhujah, kualiti hidupnya terjejas akibat ketidakadilan prosedur dalam kes itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan semua tuduhan adalah sah di sisi undang-undang dan mengandungi maklumat mencukupi untuk memaklumkan tertuduh mengenai kesalahan yang didakwa, sekali gus membolehkan beliau menyediakan pembelaan yang sewajarnya.

Pada 23 Ogos lalu, peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, turut bersetuju tetapi menyatakan proses dokumentasi masih pada peringkat akhir sebelum perintah mahkamah dapat diteruskan.

Pada 13 Disember tahun lalu, Rosmah mengemukakan tiga surat representasi untuk menggugurkan tuduhan berkenaan. Representasi biasanya dilakukan untuk memohon penarikan balik atau pengurangan pertuduhan terhadap tertuduh.

Rosmah sebelum ini mengemukakan dua permohonan seumpamanya, masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos, yang belum diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Oktober 2018 sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.