KUALA LUMPUR: Ketika nama Haziq Nadzli diletakkan selaku penjaga gol utama bagi aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN 2024 menentang Singapura malam tadi, ia boleh dianggap sebagai satu keputusan yang mengejutkan khususnya dalam kalangan penyokong bola sepak negara.
Penyokong tampak risau dengan percaturan Pau Marti Vicente selepas penjaga gol itu melakukan kesilapan apabila memberikan gol ‘percuma’ kepada Thailand yang menyaksikan skuad negara tumbang 0-1 di Stadium Rajamangala, minggu lalu.
Malah, penyokong juga melontarkan rasa lega dengan ayat ‘wooooo’ apabila Haziq dapat mengeluarkan bola dengan baik pada aksi malam tadi – petanda mereka masih belum ‘move on’ dengan kesilapan Haziq namun penjaga gol itu jelas membuktikan dia sudah bangkit daripada ‘tragedi’ itu.
Penjaga gol Perak FC itu kekal fokus meskipun kurang diuji ketika berdepan Singapura dengan antara aksi cemerlangnya adalah dia menyelamatkan dua percubaan berturut-turut daripada Ryhan Euan Griffin Stewart untuk memastikan gawang negara tidak dibolosi.
Justeru, Haziq melontarkan penghargaan kepada Vicente yang terus memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai benteng terakhir negara serta sokongan daripada rakan sepasukannya.
“Terima kasih pada jurulatih yang terus memberi peluang kepada saya dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi motivasi selepas saya melakukan kesilapan yang tidak boleh dilupakan pada perlawanan terakhir.
“Bagi saya, kesilapan itu adalah salah satu pembelajaran kerana cara permainan saya agak berisiko kerana banyak menggunakan kaki. Jadi, saya kena sesuaikan diri dan belajar daripada semasa ke semasa,” katanya.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, penjaga gol berusia 26 tahun itu melakukan sekurang-kurang tiga ‘saves’ untuk menyelamatkan gawangnya sekali gus mendapat pujian daripada penyokong.