Kerajaan Pusat adil bantu negeri pembangkang, tambah lagi jumlah – PM

SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan sentiasa adil dalam menyalurkan peruntukan kepada negeri yang terkesan akibat bencana termasuk negeri pembangkang.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Pusat turut menambah peruntukan kepada negeri berkenaan bagi memastikan isu yang diberi perhatian dapat ditangani sebaik mungkin.

Meskipun ada tidak berpuas hati peruntukan tidak disalurkan terus kepada wakil rakyat, ketua parti politik dan pentadbiran negeri, beliau menjelaskan Kerajaan Pusat membantu menyalurkan peruntukan dalam bentuk bantuan kepada rakyat selain membiayai secara langsung kos projek.

Beliau berkata Kerajaan Pusat turut membantu melangsaikan ‘hutang’ projek dijalankan kerajaan negeri, termasuk beberapa pembayaran tertangguh dan berjadual kepada kontraktor.

“Untuk memberikan penjelasan lanjut, peruntukan kita untuk negeri yang terkesan termasuk negeri yang (ditadbir) pembangkang, kadang-kadang dalam naratif mereka di bawah itu seolah-olah Kelantan dan Terengganu tidak ada peruntukan, peruntukan tidak cukup atau masalah wang ihsan (daripada kerajaan pusat).

“Umpamanya Kedah, ada peningkatan (peruntukan daripada Kerajaan Pusat) dari RM523.86 juta pada 2024 kepada 532.07 juta untuk 2025.

“Sebab itu saya rasa pembentangan angka-angka (berkenaan peruntukan) ini bukti untuk kita nak matikan naratif yang saya fikir (berbaur) isu politik kerana itu isu pilihan raya.

“Tapi (bagi saya) pembangunan dari segi rakyat yang terkesan banjir, kemiskinan, pesawah padi… Itu kita berikan keutamaan. Sebab itu kalau dilihat dari keseluruhannya sama ada pemberian perkapita, tahunan, di bawah senarai bersama atau PBT (pihak berkuasa tempatan), perpustakaan awam, muzium, pelancongan, pemberian khas tahunan, semuanya bertambah,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Menyentuh peruntukan Kerajaan Pusat untuk Kelantan, Perdana Menteri berkata ia turut meningkat dari RM380.26 juta pada tahun ini kepada RM429.05 juta tahun depan.

Untuk Terengganu pula, beliau berkata jumlahnya juga berlaku peningkatan daripada RM431.78 juta tahun ini kepada RM450.12 juta tahun depan.

“Ia termasuk peruntukan kepada Perlis yang turut meningkat dari RM210.62 juta tahun ini kepada RM215.97 juta,” katanya.

Selain pemberian kepada negeri berkenaan, Perdana Menteri mendedahkan yang jumlah peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan untuk empat negeri ditadbir parti pembangkang juga meningkat.

Bukan itu saja, Anwar menegaskan yang bilangan projek pembangunan di negeri berkenaan turut meningkat.

“Pada 2024, 159 projek di Perlis dengan peruntukan RM635.27 juta meningkat kepada 176 projek dengan peruntukan sebanyak RM643.06 juta tahun depan.

“Di Kedah, sebanyak 430 projek tahun ini dengan peruntukan RM1.78 bilion kepada 488 projek 488 projek dengan peruntukan RM2.23 billion.

“Kelantan pula, sebanyak 425 projek dengan peruntukan RM2.79 bilion tahun ini meningkat kepada 471 projek dengan peruntukan RM3.19 bilion tahun depan.

“Terengganu, sebanyak 385 projek dengan peruntukan RM1.59 bilion dilaksanakan tahun ini, meningkat 420 projek dengan nilai peruntukan RM1.84 bilion tahun depan,” katanya.