PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan dalam proses akhir memuktamadkan permohonan lebih 10 syarikat bagi mendapatkan lesen untuk melaksanakan fungsi pemeriksaan berkala kenderaan bermotor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kementeriannya akan mengumumkan perkara terbabit dalam masa terdekat susulan keputusan kerajaan tidak lagi meneruskan pemberian konsesi kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sebagai entiti tunggal dalam penyediaan perkhidmatan itu.
Bagaimanapun, katanya, biarpun perjanjian konsesi kerajaan dengan PUSPAKOM tamat pada 31 Ogos lalu, syarikat itu masih boleh terus beroperasi seperti biasa kerana sudah mendapat lesen pengendali sebelum ini.
“Bezanya ialah mereka tak boleh lagi monopoli. Sebab dulu diberikan konsesi hanya PUSPAKOM boleh buat pemeriksaan kenderaan, jadi apabila konsesi itu tamat, kita buka untuk permohonan lesen (kepada syarikat lain).
“Jadi, ada syarikat baharu yang memohon lesen dan kita sudah proses. Dalam masa terdekat, lesen akan dikeluarkan dan saya akan buat pengumuman berkaitan lesen ini kepada pengendali baharu.
“Pengendali baharu ini apabila mendapat lesen, mereka juga perlukan masa untuk membina fasiliti.
“Jadi kita harap mungkin dalam hujung tahun ini, kita lihat ada operator baharu dalam pasaran dan dapat memberikan persaingan serta pilihan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap kenderaan yang tidak mematuhi standard tetapi diluluskan PUSPAKOM.
Beliau berkata selain isu integriti, siasatan juga akan dijalankan bagi mengesan jika wujud sindiket yang menawarkan perkhidmatan tidak sah seperti meluluskan kenderaan gagal mematuhi standard ditetapkan JPJ.
“Kita sedang menyediakan laporan pemeriksaan siasatan itu dan memang kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas bersama dengan SPRM.
“Memang kita tahu bahawa dalam pasaran ramai yang cakap ada `runner’ (penghantar), ada kartel dan sebagainya supaya kenderaan yang tak lulus pun boleh diluluskan. Jadi kes ini memang akan kita teruskan siasatan,” katanya.