Lelaki pandu lawan arus hingga langgar 4 kenderaan ditahan polis

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta melawan arus sehingga menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Chain Ferry, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata suspek berusia 28 tahun telah ditahan jam 4 petang semalam bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah dan permohonan tahanan reman akan dibuat ke atas suspek bagi menjalani ujian darah dan siasatan lanjut kes ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, terdahulu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) kawasan berkenaan telah menerima maklumat daripada orang awam jam 2.15 petang berhubung kemalangan itu.

Anuar berkata, kemalangan membabitkan empat buah kenderaan dan menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu suspek yang bergerak lurus di Jalan Chain Ferry, tiba-tiba masuk di laluan bertentangan.

“Perbuatan itu menyebabkan kereta suspek melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan tiga lagi kenderaan lain dekat situ.

“Dua pemandu dilaporkan mengalami kecederaan, yang mana salah seorang kini masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta dan dilaporkan stabil,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan kemalangan membabitkan sebuah kereta yang memandu melawan arus sebelum melanggar beberapa kenderaan lain di Jalan Chain Ferry, di sini, pada Sabtu.