MUAR: Polis membuka tiga kertas siasatan berhubung satu perarakan kebudayaan yang didakwa mempamerkan bendera China di bandar ini sehingga tular di media sosial.
Dalam perarakan sempena ulang tahun ke-20 gabungan Persatuan-persatuan Tiong Hua di daerah itu, ia mempersembahkan tarian singa dan replika naga terpanjang di Malaysia di beberapa jalan utama.
Bagaimanapun, terdapat bendera China selain Jalur Gemilang dikesan pada replika naga terbabit sebelum ia tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata bendera berkenaan dikesan ketika pemantauan polis pada perarakan berlangsung jam 6.10 petang semalam.
Beliau berkata, pihaknya mendapti replika naga dihias dengan Jalur Gemilang di sebelah kanan, manakala bendera China diletakkan di sebelah kiri badan naga itu.
“Rakaman video dan gambar mengenai perarakan itu turut dikesan dan tular di beberapa platform media sosial sejak semalam.
“Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengambil tindakan proaktif dengan membuka kertas siasatan pada hari sama kejadian dilaporkan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan; Seksyen 6 (2) Akta Perhimpunan Aman 2021 dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949,” katanya dalam kenyataan.
Raiz berkata, susulan itu pihak penganjur program dan saksi kejadian dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Pada masa sama, polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Kejadian terbabit adalah yang kedua dalam tempoh kurang sebulan selepas perkara sama berlaku ketika festival lampu LED di Bukit Gambir, Tangkak, hujung bulan lalu.
Bendera China dikesan pada replika roket selepas aduan penduduk dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.