MALAM Lailatul Qadar yang amat istimewa dan amat dinanti-nantikan kemunculannya oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.
Menghampiri 10 malam terakhir Ramadan, boleh dikatakan ramai dalam kalangan umat Islam di negara ini sudah mula sibuk melakukan persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun wujud persoalan mengenai apakah perlu mengutamakan persiapan hari raya sehingga meninggalkan amal ibadat atau perlu bergerak seiringan.
Kafe Ahad minggu ini menemubual Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, PROF DR ENGKU AHMAD ZAKI ENGKU ALWI yang berkongsi apakah keutamaan dalam Islam bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.
Menghampiri 10 malam terakhir, apakah sikap yang perlu ada pada umat Islam?
Salah satu daripada keagungan, keistimewaan dan kemuliaan bulan suci Ramadan ialah terdapatnya satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Malam yang hanya muncul pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan itu lebih dikenali dengan malam Lailatul Qadar yang amat istimewa dan amat dinanti-nantikan kemunculannya oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.
Sikap yang perlu ada untuk umat Islam hari ini adalah melipat ganda amal ibadat khususnya kepada 10 malam terakhir ini kerana tersimpan banyak ganjaran.
Walaupun ketika ini, umat Islam mungkin sibuk dengan persiapan Hari Raya Aidilfitri, namun perlu diutamakan amal ibadat supaya tidak tenggelam dengan kemeriahan persiapan hari raya.
Ini bukanlah bermaksud kita meninggalkan terus persiapan hari raya, namun perlu diimbangi antara persiapan dan amal ibadat serta seharusnya memberatkan amal ibadat sepanjang bulan suci ini.
Rasulullah SAW sendiri memohon kepada Allah SWT agar malam bersejarah yang penuh hikmah itu berkenan menemuinya.
Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadr pertama kali menemui Rasulullah SAW ketika baginda sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira’, bermuhasabah dan merenung diri tentang dirinya sendiri dan juga masyarakat sekeliling.
Tidak berapa lama kemudiannya, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa bersama wahyu Ilahi yang sarat untuk membimbing baginda SAW sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan parjalanan hidup Baginda SAW, bahkan juga setiap detik dan perjalanan hidup umat manusia sejagat .
Mengutamakan membeli belah sehingga meninggalkan amal ibadat, komen Prof?
Amatlah mendukacitakan terdapat sebahagian umat Islam yang lebih mengutamakan membeli-belah keperluan raya berbanding beribadat pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan yang menjanjikan pelbagai ganjaran yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.
Lebih-lebih lagi bulan Ramadan inilah yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya pula adalah bebas daripada api neraka.
Maka peluang keemasan yang disediakan Allah SWT sepanjang bulan Ramadan sewajarnya direbut oleh setiap Muslim supaya tidak menyesal pada kemudian hari.
Apakah menjadi kesalahan kepada kita untuk membuat persiapan hari raya?
Sebenarnya, tidak menjadi satu kesalahan pun untuk umat Islam membeli-belah persiapan hari raya untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri nanti, namun umat Islam sepatutnya mengimbangi antara persiapan hari raya dengan melakukannya pada siang hari dan pada masa yang sama, umat Islam tidak pula mengabaikan keutamaan beribadat pada malam hari untuk meraih pahala berganda dengan melaksanakan solat tarawih dan witir secara berjemaah di masjid pada sebelah malamnya.
Jika inilah yang dilakukan, maka tidak timbul isu kekurangan jemaah di masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadan.
Pada hal, sepatutnya bilangan jemaah semakin bertambah pada sepuluh malam terakhir demi menjejaki malam al-Qadar yang dijanjikan Allah SWT lebih baik daripada 1,000 bulan.
Bagaimana pula dengan penghayatan umat Islam dalam bulan Ramadan ini akan terkesan dengan kesibukan persiapan hari raya?
Dalam hal ini, sebenarnya ia bergantung kepada kesedaran, kesungguhan dan penghayatan setiap Muslim untuk merebut peluang yang disediakan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadan yang juga penghulu segala bulan yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan buat Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah taala.
Apabila seseorang Muslim berjaya berpuasa dan beribadat sebulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan keredaan Allah, maka dia diampuni Allah akan segala dosanya seumpama bayi yang baru keluar dari rahim ibunya.
Andai kata Ramadan ini adalah yang terakhir untuk kita dan kita tidak mengetahui apakah kita akan bertemu lagi Ramadan akan datang.
Nasihat Prof kepada umat Islam di negara ini khususnya apabila kita menghampiri minggu terakhir Ramadan?
Setiap Muslim wajar mencerminkan dirinya dengan memahami baik-baik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesugguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam tersebut, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara tersebut kecuali orang-orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) dari Allah SWT,” daripada hadis riwayat Ibnu Majah.
Jika kita fahami keseluruhan hadis ini maka dapat disimpulkan bahawa bulan Ramadan ini tersimpan dengan pelbagaian anugerah, pengampunan dan ganjaran pahala.
Usahlah kita terlalu memberatkan persiapan hari raya sehingga mengabaikan amal ibadat dan seharusnya, sepanjang 30 hari ini kita memberi fokus paling maksimum kepada ibadat kita
di bulan penuh barakah ini.