Victor berkata keputusan itu ternyata tepat dan membawa kesan terbaik dari segenap aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial terutama kepada rakyat di kawasan tersebut. – Gambar fail/Bernama
LAHAD DATU: Keputusan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada 11 tahun lepas merupakan perkara berat dan kritikal yang diambil pada ketika itu dalam memastikan keselamatan di pantai timur Sabah dan kesannya dinikmati pada masa ini.
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata keputusan itu ternyata tepat dan membawa kesan terbaik dari segenap aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial terutama kepada rakyat di kawasan tersebut.
“Penubuhan ESSCOM ini melakar sejarah sendiri, oleh itu warga ESSCOM perlu terus komited melaksanakan tugas, tanggungjawab dengan penuh profesional serta berintegriti bagi memastikan Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone) kekal aman dan berdaulat, seterusnya mengekalkan rekod sifar penculikan sejak 15 Jan 2020.
“Seluruh warga ESSCOM perlu terus berganding bahu dan memastikan ESS Zone bukan sahaja menjadi destinasi yang selamat tetapi sejahtera untuk dikunjungi oleh semua dan penduduk menikmati hasil pertumbuhan ekonomi mapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Victor sekali lagi menekankan komitmen ESSCOM untuk mengangkat semula imej ESS Zone sebagai Zon Sejahtera dan mengusul cadangan kepada kerajaan untuk menukar warna peta ESS Zone daripada merah kepada putih sebagai simbolik kesejahteraan kawasan tersebut