Rantau Panjang: Sedut petrol guna kenderaan dan nombor pendaftaran Malaysia menjadi taktik terbaru sindiket penyeludupan petrol sebelum menghantar bekalan terbabit ke Thailand.
Taktik berkenaan dikesan mula aktif sejak awal tahun ini dengan kebanyakan mereka yang didalangi warga Thailand menggunakan kereta Proton Waja memandangkan tangki petrol didakwa lebih besar berbanding kenderaan lain.
Mereka juga sanggup membeli kenderaan dari Malaysia semata-mata untuk tujuan berkenaan dengan setiap sindiket mempunyai sekurang-kurangnya tiga kenderaan untuk kegiatan menyeludup petrol.
Tinjauan Harian Metro selama tiga hari di kawasan sempadan Rantau Panjang mendapati seawal jam 7 pagi sebaik Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dibuka, lebih 30 kereta Proton Waja dari Thailand masuk ke Rantau Panjang dari Thailand.
Mereka kemudiannya terus stesen minyak berdekatan dan kebanyakan mereka akan mengisi penuh petrol sebelum kenderaan terbabit dilihat masuk semula ke Thailand.
Tidak sampai 15 minit, kenderaan sama sudah kelihatan masuk semula ke Rantau Panjang dan menuju destinasi sama iaitu stesen minyak.
Dalam tempoh satu jam, ada Proton Waja sudah mendapat sekurang-kurangnya tiga ‘trip’ untuk mengisi minyak petrol dengan ada dalam kalangan mereka adalah pemandu wanita.
Pergerakan mereka cukup pantas dan mereka akan merebut sebanyak mungkin ‘trip’ (mengisi minyak) memandangkan mereka mendakwa tinjauan akan dilakukan oleh anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula kira-kira jam 9 pagi.
Situasi di beberapa stesen minyak setiap pagi ketika tinjauan dilakukan begitu meriah dan boleh dikatakan beberapa pam petrol di stesen berkenaan dikhaskan untuk sindiket berkenaan.
Malah, tindakan itu dikatakan turut mendapat ‘bantuan’ daripada pekerja stesen minyak walaupun sedar kenderaan terbabit digunakan untuk kegiatan menyeleweng petrol bersubsidi.
Seorang penyeludup yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, berkata, situasi warga Thailand menggunakan kenderaan dan nombor pendaftaran negara ini untuk kegiatan penyeludupan minyak semakin berleluasa.
Menurutnya, mereka kini tidak perlu bersusah payah untuk membawa bekalan menerusi Sungai Golok, sebaliknya hanya menggunakan kenderaan Malaysia dan sebaik mengisi penuh minyak petrol, mereka akan masuk semula ke Thailand dan mengeluarkan petrol terbabit sebelum kembali semula ke Malaysia.
“Kebanyakan sindiket kini menggunakan Proton Waja memandangkan tangki yang lebih besar dan kita tidak perlu mengubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Pada masa sama, tujuan kenderaan tidak diubah suai adalah bagi mengelak kenderaan dirampas pihak KPDN sekiranya kegiatan penyeludupan petrol itu berjaya dikesan.
“Boleh dikatakan sekurang-kurangnya lima hingga 10 trip untuk sebuah kereta akan dapat dilakukan setiap hari dan kegiatan ini akan berhenti seketika sebaik mengesan kehadiran anggota KPDN.
“Bayangkan jika satu sindiket mempunyai lima kenderaan dan berapa banyak petrol dibawa ke Thailand setiap hari,” katanya.
Ahmad turut mendakwa, mereka tidak berdepan masalah untuk mengisi minyak penuh sekiranya ‘line clear’ kerana kegiatan itu turut dibantu pekerja di stesen minyak.
“Kaedah menggunakan kenderaan dan nombor pendaftaran Malaysia adalah paling berkesan memandangkan pihak berkuasa sukar untuk mengambil tindakan berbanding kaedah sebelum ini menggunakan kenderaan Thailand,” katanya.
Pengusaha komplot nak petrol terjual
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak menyedari kenderaan tertentu digunakan untuk kegiatan penyeludupan petrol.
Bagaimanapun, pengusaha terbabit sanggup bersekongkol semata-mata mahu petrol mereka terjual walaupun barang subsidi terbabit dibawa ke negara jiran.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail ketika mendedahkan perkara itu berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak yang bersekongkol dengan penyeludup termasuk menyita atau menggantung lesen mereka.
“Kita akui kegiatan penyeludupan petrol atau diesel semakin licik. Mereka kini mula menggunakan kenderaan dan nombor pendaftaran Malaysia untuk tujuan berkenaan.
“Sebaik sahaja mereka mengisi, mereka akan masuk ke Thailand dan kembali semula ke Rantau Panjang untuk mengisi petrol.
“Ini kerana mereka sedar sekiranya menggunakan kenderaan Malaysia, mereka tidak membuat kesalahan.
“Di pihak KPDN, kesalahan yang berlaku adalah ketika mereka mengeluarkan membawa ke negara jiran.
“Namun itu tidak bermakna kita tidak boleh menyekat kegiatan mereka, sudah tentu kita boleh pertikai bagaimana petrol yang diisi penuh boleh habis dalam tempoh beberapa minit sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, bagi mengekang kegiatan penyeludupan petrol, pihaknya kini menempatkan anggota di stesen minyak di sempadan seperti Jeli, Rantau Panjang dan Tumpat secara statik.