MAKKAH: Akses lebih pantas ke atas sebarang maklumat menjadi faktor utama kepada semua jemaah dan petugas haji Musim Haji 1445H/2024M, lebih-lebih lagi dalam era digitalisasi yang mana maklumat perlu dicapai di mana dan pada bila-bila masa.
Pengarah Teknologi dan Maklumat Haji Tabung Haji (TH), Ashraf Ahmad berkata tahun ini adalah kali pertama menggunakan Content Delivery Network yang mana sistem perkomputeran awan atau ‘cloud’ untuk diaplikasikan ke dalam semua sistem TH bagi memastikan capaian yang lebih pantas.
“Jika dibandingkan dengan dahulu, kita capai pangkalan data yang berada di Malaysia. Ia mengambil masa untuk kembali ke Saudi iaitu lebih 300 milisaat (ms) berbanding menggunakan sekarang hanya sekitar 20 ms.
“Terdapat enam aplikasi yang digunakan oleh petugas dan jemaah merangkumi i-Sihat, Bersepadu, THiJari, Hajj Mobility, Stock & Inventory dan sistem Induk.
“Dengan adanya sistem yang lebih pantas, beberapa penambahbaikan dapat kita lakukan antaranya adalah mengenai penempatan bakal haji di Masyair. Kita mampu memperoleh data ahli keluarga dengan pantas untuk menempatkan ahli keluarga supaya dapat tinggal bersama jemaah yang berkeperluan khas,” katanya kepada Petugas Media TH, di Makkah semalam.
Ashraf berkata, ia juga memudahkan TH untuk menyusun atur penginapan jemaah haji di maktab mengikut keluarga demi kemudahan jemaah supaya mereka sentiasa berdekatan.
Data kesihatan jemaah haji adalah satu lagi unsur penting di dalam menguruskan haji.
Beliau berkata, TH sudah menghubungkan sistem i-Sihat dengan MySejahtera yang menyimpan data kesihatan setiap jemaah, sekali gus memudahkan petugas kesihatan untuk mencapai latar belakang seseorang jemaah jika mereka jatuh sakit.
“Apabila data pesakit dapat dicapai dengan pantas, maka lebih cepat sebarang pemasalahan itu dapat diselesaikan, termasuk data suntikan pelalian, jenis penyakit yang dialami oleh jemaah, data ubat-ubatan yang diambil oleh jemaah dan pelbagai lagi,” tambahnya.
Katanya, unit IT mempunyai kekuatan 20 anggota termasuk dua di Madinah yang datang lebih awal untuk menyediakan sistem rangkaian di kedua-dua lokasi iaitu Madinah dan di Makkah.
“Kami juga memasang enam talian dedikasi yang dibekalkan syarikat telekomunikasi Arab Saudi bagi memperkukuhkan infrastruktur tulang belakang operasi haji tahun ini. Tiada sistem pelayan yang dipasang di sini kerana pangkalan data jemaah semuanya menggunakan sistem perkomputeran awan” katanya.