NIBONG TEBAL: BERSATU akan membantu calon PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jentera parti itu akan berkampung di Sungai Bakap untuk membantu calon PAS, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.
“BERSATU malam ini berikrar depan (semua) pimpinan PAS bahawa kami akan berkampung di Sungai Bakap kerana calon PAS adalah calon PN.
“Kami akan berkhidmat sebagai PN dan Insya-Allah kita akan menang di Sungai Bakap pada 6 Julai nanti,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat PAS kawasan Nibong Tebal, di sini, malam ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pimpinan tertinggi parti komponen PN.
Azmin berkata, PN memerlukan jentera yang bertenaga dan kuat untuk mengekalkan kemenangan.
“Ada musuh politik melemparkan tuduhan kita ini kumpulan pelampau, ekstremis tetapi sebenarnya kita memilih jalan demokrasi kerana ini jalan yang dipilih dalam undang-undang dan Perlembagaan negara.
“Kita bukan guna parang mahupun pedang tetapi senjata yang akan kita gunakan adalah fakta dan ilmu supaya rakyat Sungai Bakap terus bangkit bersama PN dalam PRK ini.
“Tidak kira (jentera) sama ada golongan wanita, anak muda, cawangan, bahagian dan kawasan perlu kuat dan bertenaga untuk pastikan kemenangan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.