STUTTGART, Jerman: Tuan rumah Jerman bakal memperoleh idea lebih baik mengenai kemampuan kombinasi pemain berpengalaman dan muda mereka untuk mengekalkan rentak pemburuan gelaran apabila bertemu pasukan yang dahagakan kebangkitan Hungary, awal pagi Khamis ini.
Jerman membuka tirai kempen dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Scotland manakala Hungary berdepan nasib berbeza apabila tewas 3-1 di tangan Switzerland.
Tonggak muda, Jamal Musiala dan Florian Wirtz memberikan sinar buat penyokong Jerman bahawa era baharu skuad kebangsaan sudah kelihatan namun mereka pastinya masih diulit memori ditewaskan Hungary 1-0 di Leipzig dalam saingan Liga Negara-Negara pada September 2022.
Jerman tidak mencatat kemenangan dalam tiga pertembungan sebelum ini menentang Hungary yang kini diketuai kapten muda, Dominik Szoboszlai.
Pemain berusia 23 tahun itu menyediakan peluang jaringan gol buat rakan pasukan Barnabas Varga dan duo berkenaan dilihat bakal menjadi tonggak kepada peluang pasukan untuk meraih mata pertama mereka.
Namun, jurulatih Marco Rossi sedar persembahan sama seperti ketika menentang Switzerland pastinya akan menghukum pasukan apabila bertemu tuan rumah kendalian Julian Nagelsmann.
Di sebalik itu, timbul juga kebimbangan Nagelsmann terhadap sistem digunapakai Hungary dengan pemain bebas untuk menentukan permainan antara satu sama lain dan tidak terlalu bergantung kepada doktrin kedudukan atau formasi dipertaruhkan.
“Hungary adalah lawan yang menyukarkan, mereka kadangkala boleh bermaharajalela dan sukar dikawal.
“Semangat juang mereka terlalu tinggi,” kata Nagelsmann. – REUTERS