PUTRAJAYA – Bapa lima anak terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh isterinya, lima tahun lepas.
Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim yang menolak rayuan bekas pendawai elektrik, Taufeeq Mohsein Ahmad Tahir, 38, berkata sabitan terhadap perayu adalah selamat.
Hadhariah yang membacakan keputusan sebulat suara berkata saksi pendakwaan ke-12 (SP12) dan SP13, yang merupakan anak kepada tertuduh dan si mati adalah saksi mata dan Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat dapatan fakta bahawa kedua-dua saksi itu adalah saksi yang boleh dipercayai.
Mengenai hukuman, hakim itu berkata mahkamah mengguna pakai Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) yang memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman mati atau penjara.
“Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikan dengan hukuman penjara 30 tahun dari tarikh tangkap (7 Julai 2019) dan 12 sebatan rotan,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.
Taufeeq Mohsein merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Jun 2022 yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya selepas didapati bersalah membunuh Siti Noorasny Md Zain di PPR Desa Tun Razak, Cheras antara 8 malam, 6 Julai 2019 hingga 2.48 pagi, keesokannya (7 Julai 2019), mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Eyu berkata keterangan daripada SP12 dan SP13, yang merupakan saksi kanak-kanak, menunjukkan bapa mereka memukul, menumbuk dan menendang si mati.
“SP12 melihat perayu memegang buluh pelita dan memukul si mati dengan buluh pelita itu manakala SP13 melihat bapanya menumbuk dan menendang ibu mereka,” katanya.