Keputusan kerajaan untuk menjamin pelajar yang mendapat 10A ke atas tanpa mengira kaum mendapat tempat di matrikulasi, bukanlah tindakan ‘menjual maruah Melayu’, kata Perdana Menteri Anwar. – Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan untuk menjamin pelajar yang mendapat 10A ke atas tanpa mengira kaum mendapat tempat di matrikulasi, bukanlah tindakan ‘menjual maruah Melayu’ sebaliknya ia adalah satu pendekatan adil yang sedang dilakukan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru semua pihak untuk melihat pelajar-pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang ini sebagai anak-anak Malaysia yang perlu dilayan dengan adil dan saksama.
“Dua hari sudah saya umumkan berkenaan matrikulasi, dia kata kita jual maruah Melayu, apa yang saya umumkan, anak-anak kita Melayu, Cina, India, Dayak, Dusun, Murut, Bajau – ini semua anak-anak kita.
“Saya kalau jadi ketua ini semua anak-anak kita, kalau anak-anak kita yang catat keputusan cemerlang, ada di Bangsar, anak-anak India di estet – maka saya tanya Kementerian Pendidikan dan kementerian kata boleh,” jelas Anwar pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Selasa.
Menurut Perdana Menteri, peluang berkenaan perlu diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang bukan bumiputera yang miskin dan terpinggir, supaya mobiliti sosial pelajar berkenaan dapat diangkat.
“Jadi kita kena beri ruang, supaya dia boleh terangkat, dan membolehkan mobiliti sosial dalam hidup dia diangkat, jadi kita ada kedua-duanya — sementara kita bagi jaminan kepada yang cemerlang 10A, kita kena prihatin mereka yang paling miskin dan terpinggir termasuk kuota Bumiputera.
“Pertimbangan itu adil, kalau kita fikirkan hanya Bumiputera saja, tapi anak india yang miskin di estet dapat 10A diketepikan itu tak jadi, kalau kita hanya fikirkan meritokrasi bukan fairness itu pun tak jadi,” kata Anwar lagi.
Pada Ahad, Anwar mengumumkan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 10A ke atas akan ditawarkan peluang ke matrikulasi.
Dalam masa yang sama, beliau memberi jaminan kuota pelajar Bumiputera sedia ada untuk melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, kekal kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.