Anggota tentera selamatkan mangsa terjun jambatan terlibat kemalangan

KEPALA BATAS – Anggota tentera yang menyelamatkan pasangan terjatuh daripada Jambatan Pulau Pinang, Januari lalu, dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 115.7 Lebuh Raya Utara – Selatan arah selatan di sini, semalam.

Kejadian jam 8.30 malam itu membabitkan sebuah kereta dan dua buah motosikal termasuk yang ditunggang Sarjan Mazlan Abdul Rahman, 35.

MalaysiaGazette difahamkan, kemalangan berpunca selepas kereta dari arah utara itu berhenti di lorong kecemasan akibat suhu enjin kenderaannya panas.

Bagaimanapun, Mazlan yang datang dari arah sama telah melanggar bahagian belakang kanan kereta tersebut sebelum sebuah lagi motosikal gagal mengelak insiden tersebut dan melanggar mangsa.

Impak pelanggaran itu menyebabkan jurulatih jasmani dan sukan di Batalion 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RMAD) Kem Sungai Ara itu  mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Petani, Kedah untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa kini telah sedar dan tiada kecederaan serius.

Terdahulu, isteri mangsa memuat naik status di media sosial memohon orang ramai mendoakan suaminya yang ditempatkan di zon merah selepas terlibat dalam kemalangan.

Berdasarkan status tersebut, isterinya memaklumkan mangsa terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.Pada Sabtu lalu, Mazlan dianugerahkan Pingat Gagah Perwira (PGP) sempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang DiPertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak selepas

Bapa kepada dua anak lelaki berusia tujuh dan tiga tahun itu satu-satunya individu yang menerima PGP tahun ini. – MalaysiaGazette

Source :