Arab Saudi bina Stadium King Salman dengan 92,000 tempat duduk

RIYADH- Suruhanjaya Diraja bagi Riyadh City dan Kementerian Sukan Arab Saudi mengumumkan reka bentuk dan pelan Stadium King Salman yang bakal menyediakan kemudahan sukan terbesar di dunia.

Saudi Agency Press melaporkan, stadium berkenaan akan menjadi ibu pejabat pasukan kebangsaan Arab Saudi dan  lokasi penganjuran acara serta aktiviti sukan yang besar.

Terletak di utara Jalan King Salman dan bersebelahan Taman King Abdulaziz, stadium berkenaan juga tidak jauh dari kawasan bandar seperti Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, stesen Metro Riyadh dan jalan raya-jalan raya utama.

Rekaan Stadium King Salman serta kemudahan sukannya telah mendapat kelulusan dan dijangka siap pada suku keempat 2029.

Antara beberapa cadangan yang dihantar enam syarikat ternama antarabangsa, kerajaan memilih rekaan berinspirasikan landskap gunung-ganang yang diintegrasi dengan Taman King Abdulaziz melalui sebuah lembah yang mengelilingi taman serta kawasan hijau stadium berkenaan.

Syarikat-syarikat tersebut menyediakan kertas cadangan terbaik untuk memenuhi syarat FIFA serta standard kelestarian serta kecemerlangan seni bina.Seni bina utama stadium itu termasuk dinding hijau dan siling sepanjang lebih 96,500 meter persegi, mengambil inspirasi daripada struktur urban tempatan, sejajar dengan kelestarian alam sekitar dan standard bangunan hijau.

Stadium utama mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 92,000 di samping 150 kerusi suite diraja, 120 suite hospitaliti, 300 kerusi VIP dan 2,200 kerusi tetamu kehormat.

Secara keseluruhan, stadium King Salman bakal menempatkan pelbagai kemudahan sukan di atas tanah seluas 360,000 meter persegi termasuk dua padang latihan dilengkapi zon peminat, sebuah dewan sukan tertutup, kolam renang bersaiz olimpik, trek atletik dan gelanggang bola tampar, bola keranjang dan padel tennis.Kemudahan-kemudahan itu boleh digunakan oleh semua peringkat usia.

Pembinaan stadium berkenaan mencerminkan sokongan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Katanya, stadium itu juga bermatlamat untuk membangunkan sukan dan atlet selain menjadi sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan status Arab Saudi sebagai peneraju hab sukan.- Agensi

Source :