Anwar akan umum Ketua Setiausaha Negara baharu ganti Mohd Zuki dalam masa terdekat

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bakal menamatkan kontraknya pada 10 Ogos ini. – Foto MOHD FADLI HAMZAH

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai tonggak penjawat awam yang komited dan tidak pernah mengeluh dalam menjalankan tugasnya.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Mohd Zuki yang bakal menamatkan kontraknya pada 10 Ogos ini, Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Negara itu adalah seorang pendamping yang komited membantunya dalam mengemudi negara.

“Saya bersyukur kerana sejak menjawat jawatan Perdana Menteri, saya didampingi selain rakan Jemaah Menteri, ialah tonggak dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara dan kebetulan ini perhimpunan terakhir beliau.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan dan rasa terhutang budi saya kerana beliau walaupun berpengalaman dengan Perdana Menteri sebelumnya, tetapi menjalankan khidmat benar-benar profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Selain itu, Anwar juga berkata, pengumuman pelantikan baharu Ketua Setiausaha Negara bagi menggantikan Mohd Zuki akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Calon Ketua Setiausaha Negara, saya akan umum dalam masa terdekat,” katanya.

Source :