KUCHING: Orang awam tidak menyangka api yang marak pada longgokan bungkusan di tepi pejabat syarikat kargo di Terminal Bas Sibu, awal pagi tadi adalah barangan berharga termasuk telefon bimbit berserta aksesori.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.17 pagi yang memaklumkan berlaku kebakaran sampah di terminal bas berkenaan.
“Bomba menggunakan pancutan air tangki jentera untuk memadam kebakaran pada pada longgokan kotak itu.
“Selepas api dipadam, didapati bukan kebakaran sampah tetapi membabitkan barangan yang diletakkan di tepi pejabat kargo bas,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kargo itu yang terdiri daripada telefon bimbit, thermos, aksesori telefon dan cecair pencuci.
Menurutnya lagi, kebakaran itu tidak membabitkan struktur bangunan, namun tidak dapat dipastikan jumlah sebenar barangan kargo yang musnah.