Kenaikan gaji penjawat awam: Kerajaan umum kaedah kasar dahulu SSPA bulan ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijanjikan tertinggi dalam sejarah negara sejak Merdeka akan diumumkan secara kaedah ‘kasar’ terlebih dahulu, pada bulan ini.

Perdana Menteri sebaliknya berkata perincian selengkapnya seperti mana yang dijanjikan kerajaan akan diumumkan melalui Belanjawan 2025, Oktober ini sebelum ia dilaksanakan 1 Disember kelak.

“Dalam tempoh beberapa minggu ini, kita akan mengumumkan kaedah kasar yang membuktikan dalam sejarah Malaysia, walaupun ada suara pembangkang yang tidak pernah reti bersyukur dan menerima kenyataan, namun percayalah apabila saya umumkan bulan Ogos ini.

“Lengkapnya (perincian) seperti mana saya janjikan pada Oktober dan dilaksanakan 1 Disember ini,” katanya dalam ucapan pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI), hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto fail NSTP

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, tiga perkara ditekankan dalam menyelaraskan gaji penjawat awam iaitu disebabkan tiada kajian menyeluruh kenaikannya sejak 12 tahun lalu selain bagi mengiktiraf peranan penjawat awam.

Beliau berkata, melalui penyelarasan gaji ini, kerajaan juga mahu khidmat penjawat awam jauh lebih baik setimpal dengan kenaikan gaji mereka.