KUALA LUMPUR: Seramai 3,683,944 warganegara dan penduduk tetap di Malaysia telah mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat 21 Feb lepas.
Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan daripada jumlah itu 1,699,771 telah selesai mengemas kini dan memperakukan maklumat dan data.
“Selangor merekodkan pendaftaran tertinggi iaitu 558,115 orang, diikuti Sarawak (478,236) dan Johor (355,414),” menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai perkembangan terkini sistem PADU daripada sudut jumlah pendaftaran dan bagaimana data ini dimanfaatkan kerajaan.
PADU dilancarkan pada 2 Jan lepas dibuka kepada orang ramai untuk membuat pengemaskinian sehingga 31 Mac ini dengan fasa dua dijangka bermula pada April sehingga Jun 2024 yang akan melibatkan pembangunan algoritma mengikut keperluan use case berpandukan data dalam PADU.
Menurut kementerian itu, matlamat pelaksanaan PADU adalah untuk memantapkan tadbir urus negara bagi menambah baik perancangan dasar serta pelaksanaan program yang berpandukan data.
Selain itu, pelaksanaan PADU juga tidak hanya bertumpu kepada penyasaran semula subsidi dan bantuan tetapi turut bertujuan mengenal pasti tahap sosioekonomi rakyat dan penentuan dalam penyaluran bantuan.