Frank Van Den Broek tambah kekuatan DSM Firmenich PostNL

KUALA LUMPUR: Pelumba muda Belanda, Frank Van Den Broek sah bakal memperkuatkan pasukan berstatus World Team, DSM Firmenich PostNL dalam untuk penyertaan sulung di perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari 29 September hingga 6 Oktober ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu mencuri perhatian apabila berjaya mengecapi kejayaan manis dalam karier profesionalnya baru-baru ini selepas meraih tempat kedua di belakang rakan sepasukan, Romain Bardet, pada peringkat pertama perlumbaan Tour de France tahun ini.

Kayuhannya di Peringat 2 Tour de France dianggap sebagai luar biasa, hasil keupayaan mengerah kudrat di peringkat pendakian yang tinggi, melakukan pemecahan pada laluan sejauh 206 kilometer (km) dari Firenze ke Rimini dan mengekalkan momentum itu bersama Bardet sehingga garisan penamat – yang turut menyaksikan juara keseluruhan, Tadej Pogacar (UAE Team Emirates) sekadar tamat di tempat keempat peringkat berkenaan.

Momentum itu diteruskannya bersama pasukan dengan memenangi peringkat pertama Ujian Masa Berpasukan (TTT) Tour of Denmark untuk menghuni tangga ketujuh keseluruhan individu selain muncul juara keseluruhan di Tour of Turkiye 2024.

Selain Van Den Broek, pasukan DSM Firmenich bakal tampil dengan barisan pelumba hebat lainnya seperti Alex Edmondson (Australia), Niklas Markl (Jerman), Casper Van Uden (Belanda), Bjoern Koerdt (Great Britain) dan Johan Dorussen (Belanda).

Pasukan DSM Firmenich diramal mampu menjadi pencabar utama kepada 22 pasukan yang bertanding di LTdL 2024 dalam perebutan juara keseluruhan dan peringkat, sekaligus bakal menjanjikan persaingan sengit yang seimbang antara tiga pasukan World Team yang menyertai LTdL tahun ini.

Dalam pada itu, Edmondson atau lebih mesra dipanggil Edmo bakal menjadi tarikan LTdL 2024 kerana akan tampil di daerah kelahirannya kelak iaitu di Miri, Sarawak yang menjadi garis permulaan Peringkat 7 LTdL tahun ini .

Edmo, 30, pernah membarisi skuad berbasikal trek Australia di Sukan Olimpik London 2012 dan muncul juara acara pecut individu pada kejohanan dunia 2014 serta muncul pemenang pingat perak acara pecut berpasukan di Sukan Olimpik Rio 2016, sebelum beralih ke perlumbaan lebuh raya bersama pasukan Orica GreenEdge dari 2016 hingga 2022.

Perlumbaan LTdL sejauh 1,190km tahun ini bakal menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan saingan selain dua peringkat buat julung kalinya dilangsungkan di dua bandar di Sarawak – Miri serta Bintulu.