KUALA TERENGGANU: Tiga maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan peserta Himpunan RXZ Members 6.0 di Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata ia membabitkan masing-masing satu kes di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Beliau berkata, kemalangan pertama berlaku di Kilometer (KM) 24, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, kelmarin, membabitkan seorang penunggang motosikal berusia 58 tahun dari Perak.
“Nahas kedua pula berlaku semalam di KM 270.1, Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) Kemaman mengorbankan seorang lelaki berusia 29 tahun dari Negeri Sembilan yang maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas selepas mengelak patung penyu yang ada di atas jalan.
“Selain itu, di Hulu Terengganu, seorang penunggang motosikal berusia 29 tahun dari Pahang maut di tempat kejadian selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah motosikal yang berhenti di lorong kecemasan menyebabkannya terjatuh di atas jalan dan diseret lori semalam,” katanya.
Himpunan RXZ Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari bermula 13 September lalu menarik lebih 60,000 peserta dari seluruh negara.
Program itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mohd Khairi berkata, pihaknya turut mengeluarkan 89 saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi yang dilakukan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak dan sekitar daerah Kuala Terengganu sepanjang dua hari bermula Jumaat lalu.
Katanya, polis turut menyita 15 motosikal dalam operasi sama.
“Antara kesalahan paling tinggi direkodkan adalah ubah suai ekzos (24 kes), tiada cermin sisi (15 kes) dan aksesori tidak sempurna (10 kes).
“Semua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 89 motosikal dan 110 individu. Semua penugasan dan operasi berjalan dengan baik dan lancar serta tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.